09 SEPTEMBER 2025/16 RABIULAWAL 1447H
KOTA DARULNAIM, 09 September 2025 – Majlis Sambutan Hari Inovasi Sektor Awam Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2025 telah berjaya diadakan di Dewan Bunga Teratai Kompleks Kota Darulnaim dan telah telah dirasmikan oleh YBM Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al Haj bin Tengku Feissal, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.
Seramai 72 Kumpulan dari pelbagai jabatan/agensi negeri yang menyertai pertandingan inovasi bagi tahun 2025 telah menerima penghargaan bagi setiap pencapaian masing-masing. Sebanyak 43 kumpulan bersaing hebat dalam merebut Anugerah Inovasi Negeri Kelantan yang merangkumi empat kategori utama iaitu Inovasi Pengurusan Kewangan, Inovasi Pentadbiran Tanah dan Jajahan, Inovasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Inovasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Selain itu, 29 kumpulan lagi turut menyahut cabaran dalam Pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Horizon Baharu.
Penyampaian hadiah pemenang utama telah disampaikan oleh YBM Tengku Kaya Perkasa Setiausaha Kerajaaan Kelantan. Turut menyampaikan hadiah kepada pemenang adalah YB. Dato’ Pegawai Kewangan Negeri, YBhg. Dato’ Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) dan YABrs. Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan.
Majlis turut mempamerkan 13 reruai pameran bagi kesemua projek kumpulan yang berjaya merangkul hadiah utama dalam setiap kategori bagi tahun 2025 dan turut diadakan ceramah inovasi yang disampaikan oleh YBrs. Encik Muhammad Muthiie Bin Che Yaacob, Ketua Pereka, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan.
Sambutan hari inovasi yang dianjurkan saban tahun sejak 2010 ini adalah cerminan kepada betapa pentingnya usaha membudayakan kreativiti dan inovasi dalam prkhidmatan awam. Dunia hari ini sedang bergerak pantas, menuntut perubahan serta kecekapan yang tinggi. Oleh itu, inovasi bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan yang mesti diterapkan dalam setiap aspek kerja harian.