27 Julai 2025 - Sejurus selepas dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah dan Profesor Adjung Universiti Malaysia Kelantan (UMK), YBM Dato’ Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj bin Tengku Feissal (Tengku Kaya Perkasa), Setiausaha Kerajaan Kelantan, telah menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengarah UMK yang diadakan pada hari ini.
Dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri pada Mac 2025 selepas memegang pelbagai jawatan sebagai Pegawai Tadbir Negeri sejak tahun 1990, YBM Tengku Kaya Perkasa membawa pengalaman pentadbiran yang luas. Beliau turut memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Perniagaan dan Perakaunan dari University of New Haven, Amerika Syarikat serta Ijazah Kedoktoran Sains dalam Kajian Maklumat Global dan Telekomunikasi dari Waseda University, Jepun.
Pelibatan awal ini memberikan ruang kepada YBM Tengku Kaya Perkasa untuk meneliti dengan lebih dekat peranan Lembaga Pengarah dalam menentukan hala tuju universiti. Penglibatan beliau dijangka menyumbang kepada perbincangan dasar yang selari dengan peranan UMK sebagai institusi pendidikan tinggi negeri.